Sunday, August 21, 2011

Maafkan ibu, nak...



Bismillah


Sumber dari blog seorang letcurer UIAM


Wardo Mohamud Yusof, seorang ibu, berjalan kaki selama dua minggu dari kampungnya di pedalaman Somalia menuju ke Dadaab untuk mencari tempat perlindungan dari kemarau yang semakin mencengkam. Anak perempuannya berumur dua tahun didokong di belakang dan anak lelaki berumur empat tahun dipimpin berjalan. 



Apalah daya yang ada pada si kecil ini untuk berjalan berpuluh batu di tengah padang pasir. Perjalanan yang bukan sahaja panas tetapi juga berdepan dengan ribut pasir, perompak dan binatang buas. Badannya semakin lemah. Tiba-tiba dia rebah tidak sedarkan diri. Wardo memberikan beberapa titik air yang masih tinggal kepada anaknya. Namun si kecil tidak lagi mampu menelan titisan air itu. Wardo meminta bantuan dari keluarga lain yang bersama dalam rombongannya. Tidak siapa berani memberikan air maisng-masing kerana mereka juga perlu menyelamatkan diri dari kebuluran.

Rombongan meneruskan perjalanan. Wardo tidak mampu lagi membawa anaknya yang sudah terlalu lemah itu lalu meletakkan saja anaknya di pasir. Anak itu terpaksa di tinggalkan di tengah padang pasir panas itu demi menyelamatkan anak kecilnya yang seorang lagi. Dengan linangan air mata, Wardo berserah kepada Allah untuk apa saja yang ditakdirkan terhadap anaknya. Dia yakin kalau nyawa anaknya diambil Allah, tempat anaknya adalah lebih baik di sana. 


Faduma Sakow Abdullahi, seorang janda berusia 29 tahun membawa bayinya dan empat orang anak lain yang berusia 2, 3, 4 dan 5 tahun berjalan kaki ke Dadaab pusat perlindungan terbesar di dunia itu. Sehari sebelum sampai ke Dadaab, anak sulung dan anak kedua sakit tenat. Kedua-dua anak itu tidak mampu lagi bangun selepas berhenti rehat. Air bekalan yang dibawa sudah hampir habis.

Sebagaimana Wardo, Faduma juga terpaksa mengambil keputusan yang menghiris hati setiap ibu, iaitu meninggalkan anak yang sedang kesakitan di tengah padang pasir. Sambil mendukung bayi dan memimpin anak lain, Faduma mengheret kaki yang sudah lemah bersama airmata yang hanya Allah memahami.

Beberapa kali Faduma pergi dan balik selepas beberapa langkah sebab tidak sanggup meninggalkan si anak begitu saja. Tetapi demi menyelamatkan tiga orang anak yang masih kecil, dia akhirnya meneruskan perjalanan denagn meninggalkan kedua anaknya di bawah sebatang pokok. Kalau ditunggu lebih lama, anak-anak yang lain juga akan mati. Biarlah Allah menentukan nasib anak-anaknya. 

Hatinya hanya mampu berbisik 

" Maafkan ibu, anak-anakku. Ibu serahkan kamu dalam penjagaan Allah. Ibu tidak mampu menjagamu lagi.. "

Wardo dan Faduma adalah di antara ribuan ibu yang berperang dengan perasaan bersalah di khemah pelarian. Mereka akan meraung tiba-tiba, apabila teringat anak yang mereka tinggalkan terutama apabila melihat kanak-kanak lain yang sebaya dengan anak mereka.


 

1 comment:

  1. Menitis air mata bila membacanya...rasa insaf..

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for Blogger